Nabi Yusuf a.s. - (نبي يوسف عليه السلام) - merupakan salah seorang daripada golongan nabi dan rasul yang wajib diketahui. Kisah baginda dikisahkan dalam al-Qur'an iaitu dalam Surah Yusuf. Kisah baginda turut dikisahkan dengan nama Joseph, dalam Perjanjian Lama, (Yosef, Hebrew: יוֹסֵף).
Baginda merupakan putera ketujuh (ada sumber mengatakan anak kesebelas) Nabi Ya'akub a.s.
dan baginda berkongsi ibu yang dikenali sebagai Rahil dengan adiknya,
Bunyamin. Baginda mempunyai 12 orang adik beradik lelaki dan baginda
mempunyai rupa paras yang tampan dan dimanjai oleh bapanya. Walau
bagaimanapun, ibu kandungnya wafat ketika baginda berusia 12 tahun.
Kasih sayang yang diperolehi dan kelebihan pada baginda dan Bunyamin
mendorong 10 adik-beradik lelaki dari ibu yang lain berasa iri-hati dan
dengki yang mewujudkan komplot menarik perhatian bapa mereka. Mereka
bercadang untuk membunuh baginda.
Yahudza, anak lelaki keempat dari Nabi Ya’akub dan yang paling cekap
dan bijaksana di antara mereka tidak bersetuju dengan cadangan
pembunuhan memandangkan perlakuan tersebut adalah dilarang. Maka, demi
menghalau Yusuf, dia mencadangkan untuk mencampakkan baginda ke dalam
sebuah "perigi buta" yang terletak di persimpangan jalan
kafilah-kafilah dagang dan para musafir beristirehat. Dengan itu,
berkemungkinan Yusuf akan diselamatkan dari perigi tersebut dan di bawa
oleh sesiapa sahaja untuk dijadikan hamba.
Pada malam saudara baginda mengadakan komplot tentang baginda, Yusuf
sedang tidur dan bermimpikan suatu yang aneh lalu menceritakan kepada
ayahnya:
- (Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku". Bapanya berkata: "Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia." Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu dan akan mengajarmu tafsir mimpi serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Ya’akub sebagaimana Dia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (12:4-6)
Mimpi tersebut menunjukkan kelebihan yang diberikan Tuhan kepada
baginda Nabi Yusuf. Amatlah berbahaya untuk membongkarkan mimpi tersebut
kepada adik-beradiknya yang lain memandangkan dia dan adiknya, Bunyamin
sudahpun dicemburui.
Pada hari sebelum mereka menjalankan rancangan, adik beradik Yusuf menghadap Nabi Yaakub a.s.
untuk meminta izin membawa Yusuf bermain bersama mereka tetapi bapanya
bimbang akan keselamatan Yusuf yang berkemungkinan baginda akan dimakan
serigala jika mereka tidak menjaganya.
Mereka berjaya menjalankan rancangan mereka dengan mencampakkan Yusuf
ke dalam sebuah perigi buta dan pulang ke rumah pada senjanya dengan
berpura-pura menangis dan mengatakan kepada Nabi Yaakub bahawa Yusuf
dimamah serigala sambil menunjukkan baju Yusuf yang dilumuri darah kambing biri-biri (kibash) .
Nabi Yaakub tetap tidak percaya dan mengatakan anak-anaknya berdusta
kerana cerita mereka itu tidak masuk akal. Meskipun demikian Nabi Yaakub
hanya bersabar sahaja sambil memohon pertolongan dari Allah
semata-mata.
Sementara itu, baginda Nabi Yusuf telah ditemui oleh rombongan pedagang
yang berhenti untuk mengambil air di perigi. Rombongan pedagang itu
terkejut apabila melihat bahawa perigi yang disangka mempunyai takungan
air itu hanya terdapat seorang kanak-kanak kecil sahaja, lalu rombongan
pedagang tersebut mengeluarkan Yusuf dari telaga/perigi dan membawa
baginda ke Mesir.
Di sana, baginda dijual dengan harga beberapa dirham sahaja. Baginda
dibeli oleh seorang bangsawan berbangsa Qibti atau Mesir yang bernama Futhifar (dalam al-Qur'an digelar al-Aziz - diceritakan bahawa beliau adalah Ketua Polis Mesir). Baginda berkhidmat sebagai hamba di Mesir sehingga dewasa.
Yusuf hidup tenang dan tenteram di rumah Futhifar, Ketua Polis Mesir,
sejak ia menginjakkan kakinya di rumah itu dan kepercayaan penuh dari
kedua majikannya. Nabi Yusuf yang telah dewasa mempunyai rupa yang
menawan dan menarik minat ramai perempuan Mesir dan salah satu
daripadanya ialah isteri kepada tuannya.
Setelah lama menahan kehendak, isteri Futhifar memancing Yusuf agar
baginda terlebih dahulu mendekatinya dan bukannya dia dulu yang
mendekati Yusuf demi menjaga kehormatan dirinya sebagai isteri Ketua
Polis. Dia selalu berdandan dan berhias malah menggoda Yusuf apabila
baginda berada di rumah. Sikap dingin dan acuh tak acuh baginda terhadap
rayuan dan ajakan Zulaikha membuat Zulaikha terdesak dengan nafsunya
dan memerangkap baginda untuk ke bilik tidurnya dan menawarkan dirinya.
Penolakan baginda membuatkan wajah Zulaikha kemerahan, tanda marah yang
meluap-luap kerana merasakan dirinya dihina dan diremehkan oleh Yusuf
dan menganggapnya suatu perbuatan kurang ajar dari seorang hamba
terhadap seorang tuan .
Akhirnya, Yusuf terperangkap apabila Futhifar pulang ketika Zulaikha
menarik koyak belakang baju baginda ketika mengejar baginda yang hendak
ke pintu. Tanpa sempat Yusuf membuka mulut, Zulaikha memfitnah baginda
di hadapan suaminya. Walau bagaimanapun, baginda terselamat dengan bukti
yang berada di hadapan mereka iaitu baju baginda koyak di belakang dan
bukan di hadapan. Akhirnya, Futhifar menyebelahi Yusuf dan berita itu
sampai ke masyarakat umum.
Cacian dan cemuhan yang diterima Zulaikha membuatkan Zulaikha
mempunyai niat untuk mengenakan Yusuf kembali. Lalu diadakan satu jamuan
(di kalangan wanita) dan para jemputan diberikan pisau untuk memotong
makanan mereka. Kemudian, Yusuf disuruh untuk keluar di hadapan para
jemputan lalu rupa parasnya membuatkan mereka ternganga hingga mereka
tidak sengaja telah melukai jari-jari tangan sendiri dan mengatakan yang
Yusuf bukanlah manusia biasa tetapi malaikat.
Dengan mengambil kesempatan tentang apa yang terjadi, Zulaikha
menerangkan betapa Yusuf tidak mendengar arahan tuannya dan betapa
Zulaikha tidak bersalah dalam hal ini dengan mengatakan pasti dia takkan
jatuh hati kepadanya kalau bukan kerana paras rupanya. Maka, ramai
undangan bersetuju dan menggesa Yusuf untuk menurut sahaja. Yusuf yang
tidak rela dengan gesaan itu berdoa agar dia lebih rela dimasukkan ke
dalam penjara.
Futhifar,
Ketua Polis Negara, suami Zulaikha memang pasti Yusuf bersih dari
tuduhan yang dilemparkan dan sedar isterinya yang mencemarkan nama baik
keluarganya. Kerana itu dia sanggup mengikut kata isterinya untuk
memenjarakan Yusuf agar orang berpendapat yang Yusuf bersalah untuk
mengembalikan nama baiknya.
Yusuf dimasukkan ke dalam penjara bukan disebabkan telah melakukan
kesalahan, tetapi kerana tuannya ingin meletakkan kesalahan pada diri
baginda. Walau bagaimanapun, bagi baginda, penjara adalah tempat yang
aman untuk menghindari segala godaan dan tipu daya yang akan
menjerumuskannya ke dalam kemaksiatan dan perbuatan mungkar dan keadaan
yang sempit dan tidak selesa membolehkan baginda beribadat.
Yusuf dipenjarakan bersama dua orang pegawai istana Firaun
yang dituduh hendak meracuni Firaun atas perintah dan dengan kerjasama
pihak musuh istana. Salah seorang daripada mereka ialah penjaga gudang
makanan dan seorang lagi ialah pelayan meja istana. Pada suatu hari,
kedua tahanan itu menceritakan kepada baginda bahwa mereka telah
mendapat mimpi.
Si pelayan bermimpi dia akan memerah anggur dan si penjaga gudang melihat dirinya menjunjung roti
sambil dipatuk dan disambar burung. Mereka berharap agar Yusuf
mentafsirkan mimpi tersebut memandangkan mereka melihat baginda sebagai
orang yang boleh berbuat demikian.
Yusuf memberi tafsiran bahawa si pelayan yang memerah anggur akan
dibebaskan manakala yang disambar burung akan dihukum mati. Maka,
benarlah apa yang dikatakan baginda dan si pelayan itu dibebaskan.
Baginda memesan agar si pelayan itu menyebut namanya di hadapan siapa
dia bekerja iaitu Firaun dan memberitahu yang dia dipenjarakan bukan
atas kesalahannya. Walau bagaimanapun, si pelayan itu telah terlupa dan
menyebabkan baginda terperangkap di dalam penjara untuk beberapa tahun
lagi.
Pada suatu hari, firaun Mesir mengumpulkan para pembesar, penasihat
dan cendekiawan untuk mentafsir mimpi yang telah merunsingkan dan
menakutkannya. Firaun itu bermimpi melihat tujuh ekor lembu gemuk
dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus-kurus. Dia juga melihat dalam
mimpinya tujuh tangkai gandum hijau di samping tujuh tangkai yang lain kering.
Tiada siapapun yang dapat memberikan tafsiran bagi mimpi Firaun
bahkan sebahagian mereka menganggapnya hanyalah mimpi kosong yang tidak
bererti dan menganjurkan Firaun agar melupakan saja mimpinya itu.
Pelayan Firaun, pemuda yang pernah berjumpa Yusuf di dalam penjara
teringat pesan Nabi Yusuf kepadanya sewaktu dia dikeluarkan dari
penjara. Lalu dia memberanikan diri untuk menghampiri Firaun
mengesyorkan agar Firaun merujuk kepada Yusuf.
Dengan izin Firaun, pelayan tersebut mengunjungi Nabi Yusuf di dalam
penjara dan menceritakan apa yang berlaku kisah mimpi Firaun dan jawapan
penasihat Firaun. Dia mengatakan kepada Nabi Yusuf jika Firaun dapat
dipuaskan dengan tafsir mimpinya, berkemungkinan baginda akan
dikeluarkan dari penjara setelah bertahun lamanya.
- Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)". (12:47-49)
Nabi Yusuf yang sudah cukup derita hidup sebagai banduan yang tidak
berdosa enggan keluar dari penjara sebelum peristiwanya dengan isteri
Ketua Polis Negara diselesaikan terlebih dahulu dan fitnah yang dituduh
ke atasnya. Baginda ingin keluar dari penjara sebagai orang yang suci
bersih.
Firaun Mesir yang sudah banyak mendengar tentang Nabi Yusuf dan
terkesan oleh tafsir mimpi baginda, membantu baginda lalu Firaun Mesir
mengeluarkan titah untuk mengumpulkan para wanita yang telah menghadiri
jamuan makan Zulaikha dan terhiris jari ketika itu. Mereka menceritakan
tentang apa yang mereka lihat dan alami dalam jamuan itu dan mengatakan
Nabi Yusuf adalah ia seorang yang jujur, dan bersih. Zulaikha pula
mengaku dialah yang bersalah.
Hasil pertemuan itu diumumkan ke seluruh lapisan masyarakat dan atas
perintah Firaun, Nabi Yusuf dikeluarkan dari penjara secara hormat dan
bersih dari segala tuduhan.
Kecerdasan, pengetahuan, kesabaran , kejujuran, keramahan dan akhlak
serta budi pekerti baginda membuatkan Firaun terfikir untuk menyerahkan
tugas untuk membantunya memimpin negara dan rakyat. Maka, Yusuf
ditawarkan untuk tinggal di istana dan mewakili Firaun menyelenggarakan
pemerintahan serta pengurusan negara serta memimpin rakyat Mesir yang
diramalkan akan menghadapi masa-masa sukar dan sulit.
Nabi Yusuf tidak menolak tawaran Firaun Mesir
itu. Baginda meminta agar diberi kuasa untuk pada bahagian
perbendaharaan (kewangan dan pengedaran makanan). Pada hari penobatan
yang dihadiri oleh para pembesar dan bangsawan, Nabi Yusuf dinaikkan
sebagai wazir dengan mengenakan pakaian kerajaan dan hiasan yang mewah.
Kemudian, Firaun Mesir berkenan untuk mengahwinkan Yusuf dengan
Zulaikha, janda majikannya yang telah mati ketika Nabi Yusuf masih dalam
penjara. Yusuf menerima dan mendapat dua orang putera (menurut pendapat
ulama, putera baginda dinamakan Ifratsim dan Minsya).
Dalam masa tujuh tahun pertama Nabi Yusuf menjalankan pemerintahan di
Mesir, rakyat merasakan hidup tenteram, aman dan sejahtera.
Barang-barang keperluan untuk semua tanpa terkecuali. Baginda juga tidak
lupa peringatan yang terkandung dalam mimpi Firaun Mesir, lalu
mempersiapkan gudang bagi penyimpanan makanan untuk musim kemarau yang
bakal tiba. Maka, tempoh kemarau telah dilalui tanpa sebarang kesukaran.
Musim kemarau membuatkan ramai orang luar Mesir seperti dari Palestin
datang untuk meminta bantuan. Antara mereka ialah adik-beradik Nabi
Yusuf sendiri. Walau bagaimanapun, mereka tidak tahu bahawa Yusuf masih
hidup malah menjadi orang besar memimpin negara Mesir sebagai wakil Firaun.
Abang-abang Nabi Yusuf yang tinggal di Palestin pergi ke Mesir bagi
menukar barangan dengan makanan. Mereka masuk ke bandar Mesir dan pergi
menemui Nabi Yusuf yang menjaga gudang simpanan makanan. Dalam pertemuan
itu Nabi Yusuf serta-merta telah mengenali abang-abangnya tetapi mereka
tidak mengenalinya.
Yusuf ingin menguji abang-abangnya dengan meragukan identiti dan
mengesyaki mereka sebagai musuh dan meminta bukti. Oleh kerana mereka
adalah orang-orang musafir gharib, maka sukar sekali bagi mereka untuk
memberi bukti atau membawa saksi. Nabi Yusuf memberi peluang kepada
mereka dengan membenarkan mereka membeli gandum dari gudang dengan
syarat mereka harus membawa Bunyamin atau mereka tidak akan mempunyai
peluang lagi. Mereka kini sukar untuk membawa Bunyamin memandangkan bapa
mereka Ya’akub menyayanginya dan lebih berat untuk meninggalkannya selepas khabar akan “kematian” Yusuf.
Yusuf bukanlah ingin menganiaya atau membalas dendam tetapi hanya
sekadar ingin mengetahui keadaan ayah dan adik bongsunya, Bunyamin yang
sudah bertahun-tahun ditinggalkan dan hanya sekadar taktik untuk
mempertemukan kembali dengan ayah dan saudara-saudaranya yang sudah lama
terpisah. Kemudian baginda memerintahkan pegawai-pegawainya mengisi
karung-karung dengan makanan yang perlu tanpa mengambil sedikitpun
barangan mereka untuk ditukar.
Tanpa mengetahu hal itu, mereka kembali di Palestin dan memberitahu
Ya'akub tentang perjalanan mereka dan bagaimana Yusuf menerima mereka.
Tetapi ayah mereka tidak mengizinkan mereka membawa Bunyamin kerana
tidak mempercayai mereka lagi setelah apa yang berlaku ke atas Yusuf.
Setelah mengetahui bahawa barang untuk ditukar dengan makanan
dipulangkan kembali, mereka lebih mudah meyakinkan ayah mereka, Bunyamin
dibenarkan mengikuti mereka ke Mesir.
Setibanya di istana, mereka disambut oleh Yusuf yang masih mereka
belum menyedari hakikat bahawa itu adalah adik mereka. Mereka disediakan
jamuan dan tempat penginapan untuk setiap dua orang sebuah rumah
tetapi, Bunyamin diajak bersamanya menginap di istana. Di istana, Yusuf
memberitahu segalanya kepada adiknya dan adiknya memberitahu tentang
ayahnya pula.
Kemudian, Allah
telah memberi ilham kepada Nabi Yusuf supaya Nabi Yusuf menyediakan
barang-barang makanan untuk dibawa pulang oleh abang-abangnya, baginda
Nabi Yusuf telah meletakkan piala minuman Raja Mesir di dalam karung
barang-barangan yang diletakkan di atas unta Bunyamin.
Kemudian Nabi Yusuf menyuruh pembantunya berpura-pura menjerit
mengatakan Raja Mesir (Firaun) telah kehilangan piala minuman baginda
dan menuduh abang-abang Nabi Yusuf yang mencuri piala raja itu.
Selepas meminta diri, mereka pulang tetapi dikejar oleh pengawal
istana berkuda untuk memeriksa barangan mereka. Para pengawal mengatakan
piala minuman firaun telah hilang dan mungkin salah seorang daripada
mereka telah mencurinya. Mereka mengatakan mereka ke sana bukan untuk
mencuri tetapi penggeledahan tetap dilakukan lalu mereka menemui piala
minuman itu.
Oleh kerana piala minuman itu ditemui dalam karung kepunyaan
Bunyamin, maka Bunyamin ditahan dan tidak dibenarkan menyertai rombongan
untuk pulang. Kerisauan muncul dalam fikiran yang lain kerana khuatir
akan ayah mereka yang telahpun sengsara dengan kehilangan Yusuf.
Lalu mereka menghadap Yusuf dan merayu agar Bunyamin digantikan
dengan sesiapa daripada mereka. Oleh kerana rayuan mereka tidak
diterima, Yahudza sanggup menemani Bunyamin. Yang lain pula pulang ke Palestin untuk memberitahu ayah mereka.
Apabila berita itu disampaikan kepada ayah mereka, Nabi Yaakub
tersangat berdukacita dan sentiasa menitiskan air mata sehingga dia
menjadi buta. Selepas beberapa waktu, Nabi Yaakub menyuruh abang-abang
Nabi Yusuf pergi semula ke Mesir membeli barang makan dan mencari berita
tentang Nabi Yusuf dan Nabi Bunyamin.
Maka mereka pun sekali lagi pergi ke Mesir. Setibanya di sana mereka
terus pergi menemui Nabi Yusuf dengan membawa barang-barang tukaran yang
kurang elok mutunya bagi membeli bahan makanan, kerana itu mereka
merayu supaya mereka dikasihani.
Pada saat itulah Nabi Yusuf memperkenalkan siapa dirinya yang sebenar
dan memperingatkan abang-abangnya akan apa yang telah mereka lakukan
kepadanya suatu masa dahulu.
Kemudian apabila abang-abangnya sudah bersedia pulang ke Palestin,
Nabi Yusuf mengirimkan bajunya dengan pesanan supaya baju itu disapukan
ke muka Nabi Yaakub. Nabi Yusuf juga menyuruh abang-abangnya datang
semula ke Mesir dengan membawa ibu bapanya bersama (untuk berpindah dan
bermastautin di Mesir).
Semasa abang-abang Nabi Yusuf masih dalam perjalanan pulang, Nabi
Yaakub memberitahu saudara-maranya dia tercium-cium bau badan Nabi
Yusuf, tetapi mereka tidak percaya sebab pada sangkaan mereka Nabi
Yaakub sudah sangat tua dan kata-katanya itu adalah kata-kata orang tua
yang nyanyuk.
Sebaik-baik abang-abang Nabi Yusuf tiba di Palestin dari Mesir,
mereka menyapukan baju Nabi Yusuf ke muka Nabi Yaakub lalu ayah mereka
dapat melihat kembali. Abang-abang Nabi Yusuf mengaku telah berdosa dan
meminta supaya ayah mereka meminta ampun bagi pihak mereka lalu Nabi
Yaakub memohon Allah mengampun anak-anaknya yang sudah insaf.
Abang-abang Nabi Yusuf kemudian membawa ibu bapa mereka ke Mesir bagi
berjumpa semula dengan Nabi Yusuf. Apabila mereka berjumpa, Nabi Yusuf
memeluk kedua ibu bapanya lalu menjemput mereka duduk di atas kerusi
kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya termasuk abang-abangnya
tunduk memberi hormat kepada Nabi Yusuf.
Kata Nabi Yusuf, itulah makna taabir mimpinya dahulu, iaitu bapanya,
ibunya dan sebelas adik-beradiknya menghormati dirinya sebagai manusia
yang mulia di sisi Allah.
Menurut cerita riwayat tradisi, baginda Nabi Yusuf wafat ketika berumur 110 tahun di Mesir dan kerandanya di bawa oleh Nabi Musa a.s. ketika baginda berhijrah keluar dari Mesir agar dapat dikebumikan di Palestin
No comments:
Post a Comment