Nabi Adam A.S. merupakan nabi
dan juga manusia pertama yang bergelar khalifah Allah yang dimuliakan
dan ditinggikan darjatnya menjadi nabi yang pertama. Baginda diutuskan
kepada anak cucunya agar menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Maka di
antara mereka ada yang taat dan ada pula yang enggan.
Nabi Adam A.S. pada mulanya ditempatkan di syurga tetapi telah diturunkan ke bumi bersama isterinya, Hawa kerana mengingkari perintah Allah.
Setelah Allah s.w.t. menciptakan bumi, langit, malaikat-malaikatnya; Allah mahu mencipta pula sejenis makhluk lain yang akan menghuni dan mengisi bumi serta memeliharanya.
Para malaikat ketika dikhabarkan oleh Allah akan kehendak-Nya
menciptakan makhluk itu, mereka risau sekiranya kehendak Allah
menciptakan makhluk yang lain itu akan menyebabkan kecuaian atau
kelalaian mereka dalam ibadah dan menjalankan tugas atau kerana
pelanggaran yang mereka lakukan tanpa disedari. Berkata mereka kepada
Allah s.w.t.:
- "Wahai Tuhan kami! Untuk apa Tuhan menciptakan makhluk lain selain kami,padahal kami selalu bertasbih, bertahmid, melakukan ibadah dan mengagungkan nama-Mu tanpa henti-henti, sedangkan makhluk yang Tuhan akan ciptakan dan turunkan ke bumi itu, nescaya akan bertengkar satu dengan lain, akan saling bunuh-membunuh kerana berebut untuk menguasai kekayaan alam yang terlihat di atasnya dan terpendam di dalamnya, sehingga akan terjadilah kerosakan dan kehancuran di atas bumi yang Tuhan ciptakan itu."
Allah berfirman, menghilangkan kekhuatiran para malaikat itu:
- "Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Aku sendirilah yang mengetahui hikmat penguasaan Bani Adam atas bumi-Ku. Bila Aku telah menciptakannya dan meniupkan roh kepadanya, maka bersujudlah kamu di hadapan makhluk baru itu sebagai penghormatan dan bukan sebagai sujud ibadah, kerana Allah s.w.t. melarang hamba-Nya beribadah kepada sesama makhluk-Nya." [Al-Baqarah 2:30]
Kemudian, diciptakanlah Adam oleh Allah s.w.t.dari segumpal tanah
liat yang kering dan lumpur hitam yang berbentuk. Setelah disempurnakan
bentuknya ditiupkanlah roh ciptaan Tuhan ke dalamnya dan berdirilah ia
tegak menjadi manusia yang sempurna.
Ketika semua makhluk syurga sujud kepada keagungan Allah itu, Iblis
membangkang dan enggan mematuhi perintah Allah kerana merasa dirinya
lebih mulia, lebih utama dan lebih agung dari Adam. Demikian halnya
adalah disebabkan Iblis diciptakan dari unsur api sedangkan Adam hanyalah dari tanah dan lumpur. Kebanggaan dengan asal-usulnya menjadikannya sombong dan tidak layak untuk bersujud menghormati Adam seperti para malaikat yang lain, walaupun telah diperintah oleh Allah.
Disebabkan oleh kesombongan, kebongkakan dan keengganan melakukan
sujud yang diperintahkan, maka Allah menghukum Iblis dengan mengusirnya
dari syurga dan mengeluarkannya daripada barisan malaikat disertai kutukan dan laknat yang akan melekat pada dirinya hingga hari kiamat. Di samping itu, dia telah dijamin sebagai penghuni neraka.
Iblis dengan sombongnya menerima hukuman Tuhan itu dan dia hanya
bermohon agar kepadanya diberi kesempatan untuk hidup kekal sehingga
hari kemusnahan alam. Allah memperkenankan permohonannya itu. Tanpa
berterima kasih dan bersyukur atas pemberian jaminan itu, dia sebaliknya
mengancam akan menyesatkan Adam, sebagai punca terusirnya dia dari
syurga, dan akan datang kepada anak-anak keturunannya dari segala sudut
untuk memujuk mereka meninggalkan jalan yang lurus dan mengikutinya
menempuh jalan yang sesat.
Kemudian, Allah berfirman kepada Iblis yang terkutuk itu sambil
melaknatnya. Allah berkata bahawa Iblis tidak akan berjaya menyesatkan
hamba-Nya yang beriman dengan sepenuh hati.
Allah hendak menghilangkan pandangan serong para malaikat terhadap
Adam dan menyakinkan mereka akan kebenaran hikmah-Nya yang menyatakan
Adam sebagai penguasa bumi, maka diajarkan kepada Adam nama-nama benda
yang berada di alam semesta,
kemudian ditunjukkan benda-benda itu di hadapan para malaikat lalu
mencabar malaikat menyebut nama itu untuk kalahkan Adam. Para malaikat
tidak berdaya menyahut cabaran Allah untuk menyebut nama-nama benda yang
berada di depan mereka dan mengaku ketidaktahuaan mereka dengan
mengatakan yang mereka tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu
kecuali apa yang Tuhan ajarkan mereka.
Adam lalu diperintahkan oleh Allah untuk memberitahu nama-nama itu kepada para malaikat
dan setelah diberitahu oleh Adam, berfirmanlah Allah kepada mereka
bahawa Dia sahaja yang mengetahui rahsia langit dan bumi serta
mengetahui apa yang zahir dan tersembunyi.
Adam diberi tempat oleh Allah di syurga dan baginya diciptakanlah
Hawa untuk mendampinginya dan menjadi teman hidupnya, menghilangkan rasa
kesepiannya dan melengkapi keperluan fitrahnya untuk mengembangkan
keturunannya. Menurut cerita para ulama, Hawa diciptakan oleh Allah dari
salah satu tulang rusuk Adam yang disebelah kiri pada waktu baginda
masih tidur sehingga ketika baginda terjaga, baginda melihat Hawa sudah
berada di sisinya. Lalu baginda disoal oleh malaikat:"Wahai Adam! Apa
dan siapakah makhluk yang berada di sampingmu itu?"
Berkatalah Adam:"Seorang perempuan."Sesuai dengan fitrah yang telah
diilhamkan oleh Allah kepadanya."Siapa namanya?"tanya malaikat
lagi."Hawa",jawab Adam."Untuk apa Tuhan menciptakan makhluk ini?",tanya
malaikat lagi. Adam menjawab:"Untuk mendampingiku, memberi kebahagian
kepadaku dan mengisi keperluan hidupku sesuai dengan kehendak Allah."
Allah berpesan kepada Adam:"Tinggallah engkau bersama isterimu di
syurga, rasakanlah kenikmatan yang berlimpah-limpah didalamnya, rasailah
dan makanlah buah-buahan yang lazat yang terdapat di dalamnya sepuas
hatimu dan nafsumu. Kamu tidak akan mengalami atau merasa lapar,dahaga
ataupun letih selama kamu berada di dalamnya. Akan tetapi janganlah
engkau makan buah dari pohon ini yang akan menyebabkan kamu celaka dan
termasuk orang-orang yang zalim. Ketahuilah bahawa Iblis itu adalah
musuhmu dan musuh isterimu,ia akan berusaha memujuk kamu dan menyeret
kamu keluar dari syurga sehingga hilanglah kebahagiaan yang kamu sedang
nikmati ini."
Sesuai dengan ancaman yang diucapkan ketika diusir oleh Allah dari
Syurga akibat keengganannya dan terdorong pula oleh rasa iri hati dan
hasad dengki terhadap Adam yang menjadi penyebab sehinggakan dia dikutuk
dan dilaknat selama-lamanya serta tersingkir dari singgahsana
kebesarannya. Iblis mula menunjukkan rancangan untuk menyesatkan Adam
dan Hawa yang sedang hidup berdua di syurga yang tenteram, damai dan
bahagia.
Dia menyatakan kepada mereka bahawa dia adalah kawan mereka dan ingin
memberi nasihat dan petunjuk untuk kebaikan dan mengekalkan kebahagiaan
mereka. Pelbagai cara dan kata-kata halus digunakan oleh Iblis untuk
mendapatkan kepercayaan Adam dan Hawa bahawa dia betul-betul jujur dalam
nasihat dan memberi petunjuk kepada mereka. Dia membisikkan kepada
mereka bahawa larangan Tuhan kepada mereka memakan buah-buah yang
ditunjukkan itu adalah kerana dengan memakan buah itu mereka akan
menjelma menjadi malaikat dan akan hidup kekal. Diulang-ulangi pujukkan
itu dengan menunjukkan akan harumnya bau pohon yang dilarang itu dan
indah nian bentuk buahnya serta lazat rasanya. Akhirnya termakanlah
pujuk rayu yang halus itu oleh Adam dan Hawa dan melanggari larangan
Tuhan.
Allah mencela perbuatan mereka itu dan berfirman yang bermaksud:
"Tidakkah Aku mencegah kamu daripada mendekati pohon itu dan
memakan buahnya dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu
adalah musuhmu yang nyata."
Adam dan Hawa mendengar firman Allah itu sedarlah mereka bahawa
mereka telah melanggari perintah Allah dan bahawa mereka telah melakukan
suatu kesalahan serta dosa besar. Maka mereka menyesal dan berkatalah
mereka:
"Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiayai diri kami sendiri dan
telah melanggari perintah-Mu kerana terikut pujukan Iblis. Ampunilah
dosa kami kerana nescaya kami akan tergolong orang-orang yang rugi bila
Engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami."kata adam
Allah telah menerima taubat Adam dan Hawa serta mengampunkan
perbuatan yang mereka telah lakukan. Hal ini demikian telah melegakan
dada mereka dan menghilangkan rasa sedih akibat kelalaian mereka
terhadap peringatan Tuhan mengenai Iblis sehingga terjerumus menjadi
mangsa pujukan dan rayunya yang manis namun beracun itu.
Adam dan Hawa merasa tenteram kembali setelah menerima pengampunan
Allah dan selanjutnya akan menjaga jangan sampai tertipu lagi oleh Iblis
dan akan berusaha agar tidak mengulangi pelanggaran yang telah
dilakukan serta menimbulkan murka serta teguran Tuhan itu menjadi
pengajaran bagi mereka berdua untuk lebih berhati-hati menghadapi tipu
daya dan pujukan Iblis yang dilaknat itu. Harapan untuk tinggal terus di
syurga yang telah pudar kerana perbuatan mereka melanggar perintah
Allah, hidup kembali dalam hati dan fikiran Adam dan Hawa yang merasa
kenikmatan dan kebahagiaan hidup mereka di syurga tidak akan terganggu
oleh sesuatu dan bahawa redha Allah serta rahmatnya akan tetap melimpah
di atas mereka untuk selama-lamanya. Akan tetapi Allah telah menentukan
dalam takdir-Nya apa yang tidak terlintas dalam hati dan tidak
terfikirkan oleh mereka. Allah s.w.t.yang telah menentukan dalam
takdir-nya bahawa bumi yang penuh dengan kekayaan untuk diterokaiya,
akan dikuasai kepada manusia keturunan Adam memerintahkan Adam dan Hawa
turun ke bumi sebagai benih pertama dari hamba-hambanya yang bernama
manusia itu. Berfirmanlah Allah kepada mereka:"Turunlah kamu ke bumi
sebahagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kamu
dapat tinggal tetap dan hidup disana sampai waktu yang telah
ditentukan."
Turunlah Adam dan Hawa ke bumi menghadapi cara hidup baru yang jauh
berlainan dengan hidup di syurga yang pernah dialami dan yang tidak akan
berulang kembali.Mereka harus menempuh hidup di dunia yang fana ini
dengan suka dan dukanya dan akan menurunkan umat manusia yang beraneka
ragam sifat serta tabiat mereka yang berbeza-beza serta warna kulit dan
kecerdasan otaknya.Umat manusia akan hidup berkelompok dan menjadi
suku-suku serta bangsa-bangsa yang mana selah satu akan menjadi musuh
yang lain saling bunuh-membunuh, aniaya-menganianya dan tindas-menindas
sehingga Allah mengutuskan nabi-nabi-Nya dan rasul-rasul-Nya untuk
memimpin hamba-hamba-Nya ke jalan yang lurus dan penuh damai , kasih
sayang di antara sesama manusia untuk menuju jalan yang diredhai-Nya dan
kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.
Tinggi nabi Adam:
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
| “ | Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Allah telah menjadikan Nabi Adam setinggi enam puluh hasta. Setelah menciptakannya Allah berfirman: Pergi dan berikan salam kepada kumpulan itu. Mereka adalah sekumpulan Malaikat yang sedang duduk, maka dengarlah jawapan mereka kepadamu kerana salam itu adalah salam penghormatan untukmu dan keturunanmu. Maka Nabi Adam pergi dan mengucapkan: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ Mereka menjawab: السَّلَامُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ Mereka menambahkan وَرَحْمَةُ اللَّهِ Maka rupa bentuk setiap manusia yang akan memasuki Syurga adalah seperti Nabi Adam. Ketinggiannya enam puluh hasta. Setelah Nabi Adam, rupa bentuk (ketinggian) manusia terus berkurang hingga sekarang |
Kisah Nabi Adam dalam Al-Quran: surah Al-Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38 dan surah Al-A'raaf ayat 11 sehingga 25
Pengajaran:
Bahawasanya hikmah yang terkandung dalam perintah-perintah dan
larangan-larangan Allah dan dalam apa yang diciptakannya kadangkala
tidak atau belum dapat dicapai oleh otak manusia bahkan oleh makhluk-Nya
yang terdekat sebagaimana telah dialami oleh para malaikat tatkala
diberitahu bahawa Allah akan menciptakan manusia - keturunan Adam untuk
menjadi khalifah-Nya di bumi sehinggakan mereka seakan-akan keberatan
dan bertanya-tanya mengapa dan untuk apa Allah menciptakan makhluk lain
daripada mereka yang sudah taat, rajin beribadat, bertasbih, bertahmid
dan mengagung- agungkankan nama-Nya.
Bahawasanya manusia walaupun telah dikurniakan kecergasan berfikir
dan kekuatan fizikal dan mental mereka tetap mempunyai beberapa
kelemahan pada dirinya seperti sifat lalai, lupa dan khilaf. Seperti
mana yang telah terjadi pada diri Nabi Adam walaupun baginda telah
menjadi manusia yang sempurna dan dikurniakan kedudukan yang istimewa di
syurga ia tetap tidak terhindar dari sifat-sifat manusia yang lemah
itu. Baginda telah lupa dan mengingkari perintah Allah kepadanya
mengenai pohon terlarang itu dan mengenai Iblis yang menjadi musuhnya
dan musuh seluruh keturunannya, sehingga terperangkap ke dalam tipu daya
dan terjadilah pelanggaran pertama yang dilakukan oleh manusia terhadap
larangan Allah.
Bahawasanya seseorang yang telah terlanjur melakukan maksiat dan
berbuat dosa tidakkah sepatutnya mereka berputus asa dari rahmat dan
ampunan Tuhan asalkan mereka sedar akan kesilapan dan bertaubat serta
tidak akan mengulanginya . Rahmat Allah dan maghfirah-Nya dapat
mencakupi segala dosa yang dilakukan oleh hamba-Nya kecuali syirik
sekalipun dosa besar asalkan diikuti dengan kesedaran bertaubat dan
pengakuan kesalahan.
Sifat sombong dan bongkak selalu membawa kepada kerugian dan
kebinasaan. Lihatlah Iblis yang turun dari singgahsananya dilucutkan
kedudukannya sebagai seorang ketua malaikat dan diusir oleh Allah dari
syurga dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat kepada
dirinya sehingga hari Kiamat kerana kesombongannya dan kebanggaaannya
dengan asal-usulnya sehingga dia menganggap dan memandang rendah Nabi
Adam dan menolak untuk sujud menghormatinya walaupun diperintahkan oleh
Allah SWT
No comments:
Post a Comment