Nabi Musa a.s. (Ibrani: מֹשֶׁה Inggeris Mošé Tiberia Mōšeh; Arab: موسى, Mūsā; Ge'ez: ሙሴ Musse) merupakan seorang Nabi dan Rasul yang telah menerima Kitab Taurat.
Nabi Musa diutuskan oleh Allah bagi memimpin Bani Israil ke jalan benar.
Beliau merupakan anak kepada Imran dan Yukabad binti Qahat, (Musa bin
Imran bin Qohath bin Lewi bin Yakqub bin Ishaq bin Ibrahim), bersaudara
(adik-beradik mengikut sesetengah periwayatan) dengan Nabi Harun, dilahirkan di Mesir pada pemerintahan Firaun.
Waktu kelahirannya cukup cemas kerana Firaun menguatkuasakan
undang-undang supaya setiap bayi lelaki yang dilahirkan terus dibunuh.
Tindakan itu diambil kerana dia sudah terpengaruh dengan ahli nujum yang
menafsirkan mimpinya. Firaun bermimpi Mesir terbakar dan penduduknya
mati, melainkan kalangan Kaum Israel, sedangkan ahli nujum mengatakan
kuasa negara itu akan jatuh ke tangan lelaki Kaum Israel. Disebabkan
khuatir, dia memerintahkan setiap rumah digeledah dan jika mendapati
bayi lelaki perlu dibunuh.
Ibu Nabi Musa, Yukabad melahirkan seorang bayi lelaki (Musa) dan
kelahiran itu dirahsiakan. Kerana merasa bimbang dengan keselamatan
Musa, apabila musa mencecah umur tiga bulan Musa dihanyutkan ke Sungai
Nil. Musa yang terapung di sungai itu ditemui isteri Firaun , Asiah
sendiri ketika sedang mandi dan tanpa berlengah dibawanya ke istana.
Melihat isterinya membawa seorang bayi, Firaun dengan tidak teragak-agak
menghunuskan pedang untuk membunuh Musa. Asiah berkata: “Janganlah
dibunuh anak ini kerana aku menyayanginya. Baik kita menjadikannya
seperti anak sendiri kerana aku tidak mempunyai anak.” Dengan kata-kata
dari Asiah tersebut, Firaun tidak sampai hati untuk membunuh Musa.
Kemudian Asiah mendapatkan pengasuh tetapi tidak seorang pun yang
dapat mendodoikan Musa dengan baik, malah dia asyik menangis dan tidak
mahu disusui. Selepas itu, ibunya sendiri tampil untuk mengasuh dan
membesarkannya di istana Firaun.Al-Quran menghuraikan peristiwa itu:
“Maka Kami kembalikan Musa kepada ibunya supaya senang hatinya dan tidak
berdukacita dan supaya dia mengetahui janji Allah itu benar, tetapi
kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”
Pada satu hari, Firaun mendukung Musa yang masih kanak-kanak, tetapi
dengan tiba-tiba janggutnya ditarik hingga dia kesakitan, lalu berkata:
“Wahai isteriku, mungkin kanak-kanak ini yang akan menjatuhkan
kekuasaanku.” Isterinya berkata: “Sabarlah, dia masih kanak-kanak, belum
berakal dan mengetahui apa pun.” Sejak berusia tiga bulan hingga dewasa
Musa tinggal di istana itu sehingga orang memanggilnya Musa bin Firaun.
Nama Musa sendiri diberi keluarga oleh Firaun. “Mu” bermakna air dan
“sa” bermaksud pokok sempena tempat penemuannya di tepi Sungai Nil oleh
Asiah.
Kisah pertembungan di antara mukjizat Nabi Musa dengan sihir dari
tukang sihir firaun dikata bermula disebab satu peristiwa di mana pada
satu ketika semasa Musa mengambil meninjau di sekitar kota dan kemudian
beliau terserempak dua lelaki sedang berkelahi, masing-masing di
kalangan Bani Israel bernama Samiri dan bangsa Firaun, Fatun. Melihatkan
pergaduhan itu Musa mahu mententeramkan mereka, tetapi ditepis Fatun.
Tanpa berlengah Musa terus menghayunkan satu penumbuk ke atas Fatun,
lalu tersungkur dan meninggal dunia.
Apabila mendapati lelaki itu meninggal dunia kerana tindakannya, Musa
memohon ampun kepada Allah seperti dinyatakan dalam al-Quran: “Musa
berdoa: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri
kerana itu ampunilah aku. Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Dialah
yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Tidak lama kemudian orang ramai mengetahui kematian Fatun disebabkan
Musa dan berita itu turut disampaikan kepada pemimpin kanan Firaun.
Akhirnya mereka mahu menangkap Musa. Disebabkan terdesak, Musa mengambil
keputusan keluar dari Mesir. Beliau berjalan tanpa arah dan tujuan,
tetapi selepas lapan hari, beliau sampai di kota Madyan, iaitu kota Nabi
Syu’aib di timur Semenanjung Sinai dan Teluk Aqabah di selatan
Palestin.
Musa tinggal di rumah Nabi Syu’aib a.s. (Jethro) beberapa lama sehingga berkahwin dengan anak gadisnya bernama Ṣaffūrah (Zipporah). Selepas menjalani kehidupan suami isteri di Madyan, Musa meminta izin Syu’aib untuk pulang ke Mesir.
Dalam perjalanannya itu, akhirnya baginda dan isterinya tiba di Bukit
Sinai. Dari jauh, baginda ternampak api, lalu terfikir mahu
mendapatkannya untuk dijadikan penyuluh jalan. Baginda meninggalkan
isterinya sebentar untuk mendapatkan api itu. Apabila sampai di tempat
api menyala itu, baginda mendapati api menyala pada sebatang pokok,
tetapi tidak membakar pokok berkenaan. Ini menghairankannya dan ketika
itu baginda terdengar suara wahyu daripada Tuhan.
Selepas itu Allah berfirman kepadanya, bermaksud: “....Wahai Musa sesungguhnya Aku Allah, iaitu Tuhan semesta alam.”
Firman-Nya lagi, bermaksud: “Dan lemparkan tongkatmu, apabila tongkat
itu menjadi ular Musa melihatnya bergerak seperti seekor ular, dia
berundur tanpa menoleh. Wahai Musa datanglah kepada-Ku, janganlah kamu
takut, sungguh kamu termasuk orang yang aman.”
Selepas itu Allah berfirman lagi kepada Musa, maksudnya: “Masukkan
tanganmu ke leher bajumu, pasti keluar putih bersinar dan dakapkan kedua
tanganmu ke dada kerana ketakutan....”. Tongkat baginda yang bertukar
menjadi ular dan tangan putih berseri-seri itu adalah dua mukjizat yang
dikurniakan Allah kepada Nabi Musa.
Tatkala baginda dalam perjalanan pulang dari Madyan ke Mesir, bagi
menghadapi Firaun dan pengikutnya yang fasik. Firaun cukup marah
mengetahui kepulangan Musa yang mahu membawa ajaran lain daripada yang
diamalkan selama ini sehingga memanggil semua ahli sihir untuk
mengalahkan dua mukjizat berkenaan. Ahli sihir Firaun masing-masing
mengeluarkan keajaiban, ada antara mereka melempar tali terus menjadi
ular. Namun, semua ular yang dibawa ahli sihir itu ditelan ular besar
yang berasal daripada tongkat Musa.
Firman Allah bermaksud: “Dan lemparkanlah apa yang ada di tangan
kananmu, pasti ia akan menelan apa yang mereka buat. Sesungguhnya apa
yang mereka buat itu hanya tipu daya tukang sihir dan tidak akan menang
tukang sihir itu dari mana saja ia datang.”
Semua keajaiban ahli sihir itu ditewaskan Musa menggunakan dua
mukjizat berkenaan, menyebabkan sebahagian daripada kalangan pengikut
Firaun, termasuk isterinya mengikuti ajaran yang dibawa Musa. Melihatkan
ahli sihir dan sebahagian pengikutnya beriman dengan ajaran Nabi Musa,
Firaun marah, lalu menghukum golongan berkenaan. Manakala isterinya
sendiri diseksa hingga meninggal dunia.
Nabi Musa bersama orang beriman terpaksa melarikan diri sehingga mereka sampai di Laut Merah. Dengan kuasa Allah, laut itu terbelah
dan mereka dapat melintasinya. Namun, Firaun dan tenteranya yang sudah
mengamuk mengejar mereka dari belakang, tetapi mereka semua mati
ditenggelamkan laut.
Al-Quran menceritakan: “Dan ingatlah ketika Kami belah laut untukmu,
lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun dan pengikutnya
sedang kamu sendiri menyaksikan.”
SELEPAS keluar dari Mesir, Nabi Musa bersama sebahagian pengikutnya
dari kalangan Bani Israel menuju ke Bukit Sina untuk mendapatkan kitab
panduan daripada Allah. Namun, sebelum itu Musa disyaratkan berpuasa
selama 30 hari pada Zulkaedah. Ketika mahu bermunajat, beliau
beranggapan bau mulutnya kurang menyenangkan. Beliau menggosok gigi dan
mengunyah daun kayu, lalu perbuatannya ditegur malaikat dan beliau
diwajibkan berpuasa 10 hari lagi.Dengan itu puasa Musa genap 40 hari.
Sewaktu bermunajat, Musa berkata: “Ya Tuhanku, nampakkanlah zatMu
kepadaku supaya aku dapat melihatMu.” Allah berfirman: “Engkau tidak
akan sanggup melihatKu, tetapi cuba lihat bukit itu. Jika ia tetap
berdiri tegak di tempatnya seperti sediakala, maka nescaya engkau dapat
melihatku.” Musa terus memandang ke arah bukit yang dimaksudkan itu dan
dengan tiba-tiba bukit itu hancur hingga masuk ke perut bumi, tanpa
meninggalkan bekasnya.Musa terperanjat dan gementar seluruh tubuh lalu
pengsan.
Apabila sedar, Musa terus bertasbih dan memuji Allah, sambil berkata:
“Maha besarlah Engkau ya Tuhan, ampuni aku dan terimalah taubatku dan
aku akan menjadi orang pertama beriman kepadaMu.” Sewaktu bermunajat,
Allah menurunkan kepadanya kitab Taurat. Menurut ahli tafsir, ketika itu
kitab berkenaan berbentuk kepingan batu atau kayu, namun padanya
terperinci segala panduan ke jalan diredhai Allah.
Sebelum Musa pergi ke bukit itu, beliau berjanji kepada kaumnya tidak
akan meninggalkan mereka lebih 30 hari. Tetapi Nabi Musa tertunda 10
hari, kerana terpaksa mencukupkan 40 hari puasa. Bani Israel kecewa
dengan kelewatan Musa kembali kepada mereka. Ketiadaan Musa membuatkan
mereka seolah-olah dalam kegelapan dan ada antara mereka berfikir
keterlaluan dengan menyangka beliau tidak akan kembali lagi. Dalam
keadaan tidak menentu itu, seorang ahli sihir dari kalangan mereka
bernama Samiri mengambil kesempatan menyebarkan perbuatan syirik. Dia
juga mengatakan Musa tersesat dalam mencari tuhan dan tidak akan
kembali. Ketika itu juga, Samiri membuat sapi betina daripada emas. Dia
memasukkan segumpal tanah, bekas dilalui tapak kaki kuda Jibril ketika
mengetuai Musa dan pengikutnya menyeberangi Laut Merah. Patung itu
dijadikan Samiri bersuara.(Menurut cerita, ketika Musa dengan kudanya
mahu menyeberangi Laut Merah bersama kaumnya, Jibril ada di depan
terlebih dulu dengan menaiki kuda betina, kemudian diikuti kuda jantan
yang dinaiki Musa dan pengikutnya. Kemudian Samiri menyeru kepada orang
ramai: “Wahai kawan-kawanku, rupanya Musa sudah tidak ada lagi dan tidak
ada gunanya kita menyembah Tuhan Musa itu. Sekarang, mari kita sembah
anak sapi yang diperbuatkan daripada emas ini. Ia dapat bersuara dan
inilah tuhan kita yang patut disembah.”
Selepas itu, Musa kembali dan melihat kaumnya menyembah patung anak sapi. Beliau marah dengan tindakan Samiri.
Firman Allah: “Kemudian Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan
bersedih hati. Berkata Musa; wahai kaumku, bukankah Tuhanmu menjanjikan
kepada kamu suatu janji yang baik? Apakah sudah lama masa berlalu itu
bagimu atau kamu menghendaki supaya kemurkaan Tuhanmu menimpamu, kerana
itu kamu melanggar perjanjianmu dengan aku.”
Musa bertanya Samiri, seperti diceritakan dalam al-Quran: “Berkata
Musa; apakah yang mendorongmu berbuat demikian Samiri? Samiri menjawab:
Aku mengetahui sesuatu yang mereka tidak mengetahuinya, maka aku ambil
segenggam tanah (bekas tapak Jibril) lalu aku masukkan dalam patung anak
sapi itu. Demikianlah aku menuruti dorongan nafsuku.”
Kemudian Musa berkata: “Pergilah kamu dan pengikutmu daripadaku,
patung anak sapi itu akan aku bakar dan lemparkannya ke laut,
sesungguhnya engkau akan mendapat seksa.”Umat Nabi Musa bersifat keras
kepala, hati mereka tertutup oleh kekufuran, malah gemar melakukan
perkara terlarang, sehingga sanggup menyatakan keinginan melihat Allah,
baru mahu beriman.
Firman Allah: “Dan ingatlah ketika kamu berkata: Wahai Musa, kami
tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang,
kerana itu kamu disambar halilintar, sedangkan kamu menyaksikannya.
Selepas itu Kami bangkitkan kamu selepas mati, supaya kamu bersyukur.”
Allah memberikan banyak nikmat kepada Bani Israel, antaranya
dibebaskan daripada kezaliman Firaun, menjalani kehidupan di kawasan
subur, mempunyai Taurat dan rasul di kalangan mereka, tetapi mereka
tidak bersyukur, malah memberikan pelbagai alasan. Mereka juga
membelakangi wahyu Allah kepada Musa supaya berpindah ke Palestin.
Alasan diberikan kerana mereka takut menghadapi suku Kan’an. Telatah
Bani Israel yang pengecut itu menyedihkan hati Musa, lalu beliau berdoa:
“Ya Tuhanku, aku tidak menguasai selain diriku dan diri saudaraku
Harun, maka pisahkanlah kami dari orang fasik mengingkari nikmat dan
kurniaMu.”
Hukuman Bani Israel yang menolak perintah itu ialah Allah
mengharamkan mereka memasuki Palestin selama 40 tahun dan selama itu
mereka berkeliaran di atas muka bumi tanpa tempat tetap.Mereka hidup
dalam kebingungan sehingga semuanya musnah. Palestin kemudian dihuni
oleh generasi baru.
Bani Israel juga memperlekehkan rasul mereka, yang dapat dilihat
melalui kisah sapi seperti dalam surah al-Baqarah: “Dan ingatlah ketika
Musa berkata kepada kaumnya, sesungguhnya Allah menyuruh kamu
menyembelih sapi betina. Mereka berkata; apakah kamu hendak menjadikan
kami bahan ejekan...”
Musa meninggal dunia ketika berusia 120 tahun, tetapi ada pendapat
menyatakan usianya 150 tahun di Bukit Nabu’, tempat diperintahkan Allah
untuk melihat tempat suci yang dijanjikan, iaitu Palestin. Tetapi beliau
tidak sempat memasukinya.
No comments:
Post a Comment